PERSIAPAN akhir Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berada pada tahap memuaskan termasuk penyediaan kemudahan Internet untuk pengamal media.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pemeriksaan bersama pegawai-pegawai kanan kementerian malam ini mendapati persiapan bagi sambutan pada 16 Sept itu berjalan baik.
“Antara persiapan diberi perhatian ialah penyediaan barangan untuk diagihkan kepada pengunjung pada malam sambutan selain barangan kementerian yang akan diedarkan di beberapa lokasi termasuk kawasan Waterfront (Tebingan Kuching),” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir dan raptai penuh Sambutan Hari Malaysia di BCCK di Kuching.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam pada itu, Fahmi berkata liputan Internet di BCCK pula berada pada tahap optimum bagi memastikan pengamal media dapat menjalankan tugasan sepanjang sambutan.
“Saya telah bercakap dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pastikan rakan-rakan media mendapat akses kepada Internet sama ada Wi-Fi ataupun mobile, cukup untuk rakan-rakan media menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata MCMC memaklumkan semua peralatan dan perkakasan yang perlu dipasang oleh syarikat telekomunikasi telah siap serta berfungsi dengan baik.
Fahmi berkata pemeriksaan seterusnya akan memberi tumpuan kepada aspek teknikal termasuk sistem audio bagi memastikan kelancaran acara.
“Semalam Datuk KSU ada memaklumkan isu-isu melibatkan audio, jadi kita akan lihat dengan lebih rapi untuk pastikan we have a good show menjelang 16 Sept ini,” katanya.
Kira-kira 5,000 orang dijangka memeriahkan Sambutan Hari Malaysia di BCCK Rabu ini, yang akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijadual menghadiri acara rasmi bermula 8.15 malam itu.





