PRN Melaka: Ginie Lim tawar fokus isu asas, ekonomi wanita dan peluang anak muda

MEMPERBAIKI kemudahan infrastruktur, memperkukuh kebajikan serta meningkatkan aspek keselamatan kanak-kanak, wanita dan pengguna jalan raya antara agenda yang mahu diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin sekiranya diberi mandat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita PKR berkata, sambutan positif penduduk sepanjang lawatan mesra sejak hari pertama kempen selepas penamaan calon menjadi suntikan semangat untuk terus mendekati pengundi.

Menurutnya, pengalaman sebagai ADUN Machap Jaya bagi penggal 2018 hingga 2021 juga menjadi antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk menawarkan khidmat lebih baik kepada masyarakat setempat.

“Pengalaman serta rekod perkhidmatan lalu masih diingati sebahagian penduduk, sekali gus mendorong saya menawarkan perkhidmatan lebih baik sekiranya diberi peluang mewakili kawasan berkenaan.

“Saya optimis untuk terus meraih sokongan supaya dapat memberi perkhidmatan lebih baik daripada apa yang saya tawarkan dulu.

“Kita sekarang masuk era politik yang baharu, rakyat sudah bijak menilai. Rakyat menilai dari segi kemampuan, keupayaan, pengalaman, visi dan perancangan yang dibawa oleh calon,” katanya ketika ditemui selepas lawatan mesra di Taman Pengkalan Indah di Alor Gajah hari ini.

Kerusi DUN Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Melaka kali ini membabitkan penyandangnya, Datuk Ngwe Hee Sem yang mewakili Barisan Nasional (BN), Ginie dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Prasanth Kumar Brakasam. DUN itu mempunyai 16,030 pemilih berdaftar.

Pada PRN 2021, Hee Sem merampas kerusi berkenaan untuk BN daripada Ginie selepas memperoleh 3,732 undi dengan majoriti 938 undi.

Menurut Ginie, pendekatan politik yang berteraskan tawaran konkrit dan jelas kepada rakyat perlu diutamakan berbanding budaya pertelingkahan, cacian serta makian.

Selain isu asas, beliau turut mahu memperkasa ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal, menerusi peluang mendapatkan persijilan dan pentauliahan dalam bidang pengasuhan kanak-kanak.

Katanya, kemahiran berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita, sama ada dengan menawarkan perkhidmatan dari rumah atau bekerja di taman asuhan kanak-kanak (taska).

Beliau turut menekankan kepentingan memberi pendedahan lebih luas kepada golongan muda mengenai peluang pembiayaan kerajaan dan latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Anak muda juga perlu diberi lebih banyak pendedahan mengenai peluang yang ada, sama ada pembiayaan daripada kerajaan ataupun latihan kemahiran.

“Berdasarkan pengalaman saya berkhidmat di Invest Melaka dan berurusan dengan industri, peluang untuk anak muda sebenarnya besar, khususnya dalam industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, elektronik dan elektrik,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here