Gajah melintas tiba-tiba, tiga cedera dalam kemalangan dua kereta

TIGA individu cedera ringan selepas dua kereta terbabit dalam kemalangan apabila sebuah daripadanya merempuh seekor gajah di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor, Chukai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada jam 7.58 malam ketika Perodua Ativa dipandu Amirul Afiq Aazmi, 29, bersama isterinya, Farhain Jolius, 23, dalam perjalanan dari arah Jerangau menuju Jabor.

“Setibanya di lokasi kejadian, seekor gajah melintas jalan dari arah kanan ke kiri menyebabkan pemandu tidak sempat membrek kerana jarak terlalu dekat sebelum melanggar haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, sebuah Perodua Myvi dipandu Wan Muhammad Faiz Fakhrullah Wan Muhammad Zainal, 31, yang datang dari arah belakang turut melanggar bahagian belakang Perodua Ativa berkenaan.

Katanya, Amirul Afiq mengalami luka ringan pada tangan, manakala Farhain cedera ringan pada kaki dan dada.

“Wan Muhammad Faiz Fakhrullah pula cedera di lutut. Kesemua mangsa menerima rawatan dan dua mangsa yang menaiki Perodua Ativa mendapatkan rawatan di Zon Hijau Hospital Kemaman,” katanya.

Mohd Razi berkata, Perodua Ativa berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, kiri, kanan dan belakang, manakala Perodua Myvi pula rosak di bahagian hadapan.

Beliau berkata, polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka berkaitan kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Rule 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1980 (LN 166/59),” katanya.

Sementara itu, Amirul Afiq dari Seri Kembangan, Selangor berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian yang gelap menyebabkan dia tidak dapat melihat gajah berkenaan lebih awal.

Katanya, dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke Pasir Putih, Kelantan selepas bercuti di Kuantan, Pahang.

Dia dan isterinya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu meskipun mengalami kecederaan ringan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here