Pihak berkuasa digesa siasat ‘jenaka agama’ Noorazli – Menteri Perpaduan

MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa pihak berkuasa meneliti dan menyiasat ucapan yang mengandungi ‘jenaka tak senonoh’ melibatkan paderi Katolik oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said.

Menurut beliau, ucapan itu perlu disiasat di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan orang lain dan menyebabkan perpecahan atas alasan agama.

Dalam satu kenyataan, Aaron turut meminta ucapan itu disiasat di bawah peruntukan berkaitan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Walau apa sekali pun niat di sebalik analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.

“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya dalam kenyataan itu.

Aaron juga memberitahu, beliau mengambil maklum permohonan maaf Noorazli berhubung ucapannya itu, dan berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua.

Noorazli dikecam berhubung ‘jenaka’ yang dibuatnya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Sabtu lalu yang berkisar tentang seorang paderi dan seorang biarawati.

Perkara itu menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadapnya, selain Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menuntut beliau memohon maaf.

Semalam, Noorazli berkata beliau ‘sedia memohon maaf’ jika beliau ‘menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak’.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, beliau meminda hantaran Facebooknya untuk menyatakan bahawa beliau memohon maaf, berbanding mengatakan beliau ‘sedia memohon maaf’.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here