Hubungan retak lebih 15 tahun, Mahkamah arah banglo tiga beradik dijual

SEBUAH banglo yang menjadi punca pertikaian tiga beradik selama lebih 15 tahun akhirnya diperintahkan untuk dijual Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyelesaikan kebuntuan antara mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi berkata penjualan melalui perintah mahkamah itu perlu bagi menyelesaikan pertikaian berhubung hartanah di Lorong Raja Uda 1, berhampiran Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Banglo itu didaftarkan atas nama abang sulung, Aziz Al-Akbar Noor, selepas bapa mereka membelinya pada 1978 ketika dua adik perempuannya masih di bawah umur.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Aziz memiliki satu pertiga bahagian secara benefisial, manakala baki dua pertiga dipegangnya sebagai pemegang amanah untuk kedua-dua adik perempuannya dalam bahagian sama rata.

Adik perempuan kedua, Jelinar Noor, pula telah menduduki banglo itu secara eksklusif sejak 2001 tanpa membayar sewa kepada adik-beradiknya.

Arziah berkata bukti menunjukkan tiada kemungkinan realistik untuk ketiga-tiga beradik itu bekerjasama berhubung hartanah berkenaan.

“Hubungan mereka telah retak dan tidak dapat dipulihkan,” katanya dalam alasan penghakiman, lapor FMT.

Beliau berkata, Aziz selaku plaintif pada hakikatnya dinafikan manfaat daripada satu pertiga bahagiannya selepas berpindah keluar pada 1990 dan tidak kembali ke hartanah itu sejak 2007.

“Tanpa penjualan melalui perintah mahkamah, plaintif akan kekal sebagai pemilik satu pertiga bahagian dan pemegang amanah tanpa batas waktu, tanpa kaedah praktikal untuk merealisasikan kepentingannya,” katanya.

Arziah turut menolak hujah Jelinar bahawa Aziz hanyalah pemegang amanah kosong yang tidak mempunyai kuasa untuk menjual hartanah berkenaan.

Menurutnya, ketiadaan kuasa penjualan secara bebas pada Aziz tidak menghalang mahkamah daripada menggunakan kuasa berkanun di bawah Akta Pemegang Amanah 1949, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Kuasa terhad yang dimiliki pemegang amanah kosong merupakan asas kepada pengoperasian Seksyen 59 Akta Pemegang Amanah 1949,” katanya.

Arziah berkata, Aziz dan adik bongsu mereka, Shamsinar, sebelum ini menawarkan untuk menjual bahagian masing-masing kepada Jelinar, namun Jelinar tidak memberikan sebarang maklum balas.

Beliau berkata, penjualan melalui perintah mahkamah itu tidak akan menafikan hak Jelinar kerana beliau akan menerima satu pertiga daripada hasil bersih jualan.

Menurutnya, Shamsinar memerlukan bahagiannya bagi menampung perbelanjaan perubatan dan membeli hartanah lain.

Arziah turut berkata, ketiga-tiga beradik itu sudah berusia dan kegagalan menyelesaikan pertikaian berkenaan boleh menimbulkan komplikasi lanjut sekiranya mana-mana daripada mereka meninggal dunia, termasuk isu berkaitan faraid.

Mahkamah memerintahkan hartanah itu dijual dalam tempoh 12 bulan, tertakluk kepada harga minimum 90 peratus daripada nilai pasaran baharu.

Jelinar turut diperintahkan mengosongkan hartanah itu dalam tempoh 60 hari.

Hasil bersih jualan selepas ditolak kos penjualan hendaklah dibahagikan sama rata antara ketiga-tiga beradik.

Arziah berkata, sebarang tuntutan sewa yang masih dalam tempoh had masa yang ditetapkan boleh dikemukakan untuk penilaian atau siasatan.

Aziz diwakili Ivanpal Grewal, manakala Jelinar diwakili L Prakash dan Shamsinar oleh Ahmad Shahrizal Abdul Aziz.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here