USAHA Penyatuan Ummah antara Pas dan UMNO tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kerjasama antara dua parti tersebut sebaliknya perlu diperluaskan dengan melibatkan pelbagai kelompok lain dalam masyarakat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas dan UMNO sememangnya mempunyai kedudukan penting dalam politik Melayu-Islam, namun penyatuan yang hanya melibatkan kedua-dua parti berisiko menyebabkan pihak lain yang turut mempunyai peranan dalam masyarakat tidak diberi ruang.
Beliau berkata, perubahan politik semasa serta peningkatan jumlah pengundi muda memerlukan satu pendekatan baharu yang lebih terbuka dan inklusif bagi membentuk kerjasama politik yang mampu menangani cabaran masa depan.
“Generasi muda kini tidak semestinya terikat dengan sejarah atau persaingan politik yang berlaku pada masa lalu. Sebaliknya, mereka lebih melihat kepada usaha menyelesaikan isu serta cabaran yang bakal dihadapi negara.
“Perbezaan dari segi sejarah, pendekatan dan perjuangan antara parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membentuk penyatuan. Perbezaan berkenaan perlu diurus secara matang tanpa memerlukan mana-mana pihak mengorbankan identiti masing-masing,” katanya, lapor FMT.
Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa kerangka kerjasama baharu perlu memberi tumpuan kepada beberapa isu utama negara, antaranya politik perkauman melampau, masalah perpaduan nasional, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengaruh kartel.
Sebelum ini, Pas dan UMNO pernah menjalinkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Kedua-dua parti kemudian menjadikan agenda penyatuan orang Melayu sebagai antara fokus utama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan terdapat usaha untuk menghidupkan semula perbincangan kerjasama antara Pas dan UMNO. Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dilaporkan berkata, pihaknya mahu memulakan rundingan politik dengan Pas menjelang PRU-16, namun tidak melibatkan Perikatan Nasional.
Beliau turut merujuk kepada kewujudan ‘parti kucing’ dalam gabungan berkenaan, walaupun tidak menyatakan parti yang dimaksudkan.
Dalam perhimpunan sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula menyatakan kesediaan sayap tersebut untuk menyahut seruan Pemuda Pas bagi mengadakan Himpunan Mega Penyatuan Ummah.



