Pas berusaha perkukuh sokongan pengundi muda

PAS mengakui cabaran besar yang dihadapi ketika ini adalah memperoleh sokongan pengundi muda ketika parti itu berusaha memperluaskan sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun parti berkenaan telah mencapai kemajuan yang ketara dalam memperluaskan pengaruhnya di luar kubu tradisi, usaha meraih sokongan golongan muda masih menjadi keutamaan.

“Kira-kira 40 peratus daripada pengundi adalah golongan muda. Inilah cabaran kita,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, sentimen rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda bagaimanapun kini semakin positif terhadap hasrat melihat Pas memainkan peranan di peringkat Persekutuan.

Beliau menambah, Pas kini juga lebih berpengalaman dalam meletakkan calon di luar negeri asal mereka, dengan pemilihan calon dibuat berdasarkan strategi keseluruhan parti dan bukannya faktor asal negeri.

“Bukan mudah untuk meletakkan calon luar di sesuatu kawasan. Sebab itu kepimpinan negeri akan menilai keperluan setiap negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Kita pernah melakukannya di Kelantan dan Pahang dengan menukar calon, dan kini parti sudah tahu bagaimana untuk menempatkan calon di luar negeri asal mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pas juga mampu menggerakkan kepakaran serta jentera parti ke negeri-negeri lain bagi memperkukuhkan kempen.

“Kita memperkukuhkan agenda parti dengan meletakkan orang yang tepat di tempat yang sesuai. Ini termasuk berkongsi kepakaran dan menggerakkan jentera parti ke mana sahaja ia diperlukan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img