JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat klip video tular memaparkan aksi ‘manja’ sepasang lelaki dan wanita berpelukan di sebuah kedai makan di Malim Jaya, Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan terbabit termasuk status hubungan mereka.
“Pihak JAIM akan meneliti perkara ini dengan mengenal pasti pasangan terbabit terlebih dahulu, termasuk status hubungan mereka.
“Pada masa sama kita akan lihat sama ada perlakuan dalam video itu mempunyai unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sekiranya pasangan terbabit merupakan suami isteri sekalipun, perlakuan sedemikian tetap tidak wajar dipamerkan secara terbuka kerana perlu menjaga adab dan kesopanan.
Katanya, perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Terdahulu, klip video berdurasi 11 saat itu tular di media sosial sejak semalam dan memaparkan seorang lelaki melentokkan kepala di bahu wanita sebelum kepalanya dirangkul serta dibelai mesra ketika berada di premis awam.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian netizen mengecam tindakan itu selain mempersoalkan kesesuaian aksi terbabit dilakukan di tempat awam.





