‘’ Kalau itu bukan politik Machiavelli, apa lagi namanya?’’ Ahmad Fadhli bidas Izham

KETUA  Penerangan PAS Pusat,  Ahmad Fadhli Shaari membidas Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Ir Izham Hashim dengan memberi peringatan supaya ‘jangan menampar air di dulang’.

Ia berikutan dakwaan Amanah bahawa Pas dan UMNO mengamalkan politik Machiavelli demi meraih kuasa semata-mata dan gabungan perpaduan Melayu-Islam sebagai helah politik tanpa prinsip.

Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah mendakwa demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen Tahunan Amanah Negeri Selangor, semalam.

Mengaitkan krisis pemerintahan di Negeri Sembilan, beliau menuduh perkara itu menunjukkan Pas dan Umno sanggup melanggar tatasusila dan Perlembagaan demi cita-cita politik.

“Tidak ada istilah setiakawan dan perjuangan berprinsip bagi mereka. Malah, jika raja sekalipun yang menghalang cita-cita mereka, raja dan Perlembagaan pun mereka sanggup langgar.

“Episod Negeri Sembilan ini jelas menunjukkan persekongkolan parti sakau dan parti pelampau dalam penderhakaan yang amat memalukan,” katanya.

Selain label yang merujuk pendekatan muslihat licik atau manipulatif demi kuasa, Izham juga menuduh Pas dan UMNO memperalatkan isu kaum dan agama sebagai tabir asap (smokescreen).

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mempersoalkan pendirian moral Amanah yang kini berkongsi kuasa dan duduk di dalam kerajaan bersama UMNO, berbanding retorik awal penubuhan parti itu.

“Bukankah Amanah  dahulu lahir dengan alasan kononnya tidak bersetuju Pas bekerjasama dengan UMNO? Hari ini, bukankah Amanah dan UMNO sama-sama duduk dalam kerajaan dan berkongsi kuasa? Kalau itu tidak dinamakan politik Machiavelli, apa lagi namanya?

“Jangan lupa, pernah ada pemimpin PAN yang tergamak mengumpamakan PAS seperti seorang bapa yang mahu melacurkan anaknya kepada Umno. Begitu kotor sekali bahasa yang digunakan.

“Sekarang, siapa sebenarnya yang sedang melakukan apa yang dahulu mereka hina?” soalnya mempertikaikan dwi-standard PAN yang menganggap kerjasama dengan Umno sebagai kebijaksanaan politik,’’ katanya.

Ketika sama pendekatan sedemikian oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam banyak kepentingan negara dan berdepan siri pilihan raya dilabel sebagai Machiavelli.

Ahmad Fadhli turut mengingatkan Izham mengenai titah Sultan Selangor semasa Persidangan Dewan Negeri Selangor yang kemudiannya mendapat bantahan secara halus daripada seorang ADUN DAP.

“Siapa sebenarnya yang dilihat mempertikaikan titah Raja Melayu dalam dewan yang persidangannya sendiri dibuka dengan titah baginda?

“Bukankah titah Sultan Selangor kemudiannya menyebut dengan jelas nama pemimpin DAP yang diminta mempelajari semula Rukun Negara? Mengapa dalam hal ini Izham tidak pula lantang berbicara tentang prinsip dan penghormatan terhadap institusi diraja?

“Sebagai Pengerusi PAN Selangor, janganlah terlalu sibuk mencari kuman di seberang laut sehingga gajah di depan mata sendiri pura-pura tidak nampak,” tegas beliau.

Ahmad Fadhli turut menasihati Izham agar memanfaatkan baki tempoh pentadbiran untuk menabur bakti kepada rakyat Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

“Nasihat saya kepada Izham, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai kerajaan di Selangor dan di Putrajaya. Gunakanlah kesempatan masih berbaki untuk menabur bakti kepada rakyat supaya apabila nanti terkeluar daripada kerajaan, sekurang-kurangnya ada jasa boleh dikenang.

“Malangnya, kalau jasa pun tidak seberapa, rakyat pula ditekan dan ditindas di sana sini, akhirnya nasib politik mungkin tidak ubah seperti kain buruk pelapik kaki yang basah di hadapan tandas. Dipijak ketika diperlukan, kemudian dilupakan tanpa sesiapa pun berasa kehilangan,” bidasnya.

PAN ditubuhkan pada tahun 2015 oleh kumpulan serpihan PAS berikutan keretakan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dan penentangan terhadap wacana Kerjasama Perpaduan (UG) antara Pas dan UMNO ketika itu.

Bagaimanapun, landskap politik pasca-PRU15 menyaksikan PAN yang didakwa dicaturkan penubuhannya oleh DAP, telah bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan bersama UMNO.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here