PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi penuh istiadat hari ini, sempena permulaan program rasmi beliau dalam lawatan dua hari ke Maldives.
Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Jeti Presiden, Jeti Izzudheen pada jam 9.29 pagi waktu tempatan (12.29 tengah hari waktu Malaysia) dan disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu.
Beliau turut dipersembahkan dengan tarian kebudayaan oleh murid sekolah dan diiringi Menteri Hal Ehwal Islam Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed selaku menteri pengiring sepanjang lawatan berkenaan.
Turut hadir pada majlis sambutan rasmi itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.
Anwar kemudian diiringi ke pentas utama untuk menerima tabik hormat daripada Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), disusuli 21 das tembakan meriam, lapor Buletin TV3.
Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dimainkan diikuti lagu kebangsaan Maldives sebelum Anwar memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota MNDF.
Perdana Menteri seterusnya kembali ke pentas utama untuk menerima tabik hormat kedua sebelum beliau dan Muizzu diperkenalkan kepada ahli kedua-dua delegasi.
Kedua-dua pemimpin kemudian berjalan kira-kira 150 meter dari Dataran Republik ke Pejabat Presiden dalam perarakan kebudayaan yang diiringi paluan gendang, manakala peserta perarakan mengenakan pakaian tradisional Maldives.
Di Pejabat Presiden, Anwar dan Muizzu dijadual mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Maldives.
Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) sebelum mengadakan sidang media bersama.
Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1968, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.





