BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini selepas pihak pendakwaan memohon supaya satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama terhadap Presiden BERSATU itu tidak diteruskan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib untuk tidak meneruskan kes berkenaan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Muhyiddin, 79, sebelum ini didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut sebelum ini berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik BERSATU di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.





