Pemandu lori dipenjara 9 tahun, lima sebatan rogol adik ipar hingga lahirkan anak

SEORANG pemandu lori dipenjara sembilan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol adik iparnya yang berusia 16 tahun sehingga melahirkan anak, dua tahun lalu.

Tertuduh, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada sembilan anak didakwa merogol adik iparnya ketika mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat pada jam 12.30 tengah malam, antara 27 hingga 28 Julai 2024.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merogol dan melakukan serangan seksual terhadap adik iparnya ketika isterinya tiada di rumah.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa tidak datang haid dan mengalami sakit perut, lapor Harian Metro.

Ibu mangsa kemudian membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan remaja terbabit hamil dua bulan ketika itu.

Susulan itu, mangsa ditemani ibunya membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 22 September 2024 bagi membantu siasatan.

Mangsa kemudiannya melahirkan seorang bayi lelaki tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh dipenjara serta pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here