DATUK Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives diadakan di Kuala Lumpur sebelum penghujung tahun ini bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut Perdana Menteri, platform tersebut penting untuk menyelesaikan beberapa isu yang masih tertangguh selain menterjemahkan hubungan baik Malaysia dan Maldives kepada bentuk kerjasama yang lebih konkrit.
Beliau berkata, hubungan antara kedua-dua negara perlu berasaskan sikap saling menghormati, kepercayaan serta penghargaan terhadap keperluan dan kelebihan masing-masing.
Cadangan itu dikemukakan Anwar ketika sidang media bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden di Male hari ini, selepas kedua-dua pemimpin membincangkan usaha mempererat hubungan Malaysia-Maldives.
Anwar berkata, Malaysia turut akan meneliti beberapa perkara yang memberi kesan kepada rakyat Maldives di negara ini, termasuk golongan pelajar dan mereka yang mendapatkan rawatan kesihatan.
Katanya, lebih 2,000 pelajar dari Maldives kini menuntut di Malaysia, sekali gus menunjukkan hubungan persahabatan serta keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.
Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa isu birokrasi membabitkan ibu bapa yang menemani anak mereka belajar di Malaysia dan berharap perkara itu dapat diselesaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Dalam aspek kesihatan pula, Anwar berkata, masalah yang dihadapi sebilangan kecil rakyat Maldives yang memerlukan rawatan perlu diberikan perhatian dan diselesaikan segera, selaras dengan nilai ihsan serta keprihatinan dalam kerangka Malaysia MADANI.





