LAWATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives dijangka membuka ruang lebih luas untuk Malaysia dan negara kepulauan itu memperkukuh hubungan dua hala, khususnya menerusi kerjasama dalam bidang ekonomi, pembangunan dan sektor strategik.
Kunjungan Perdana Menteri selama dua hari atas jemputan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu itu merupakan lawatan pertama beliau ke negara berkenaan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Sepanjang lawatan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Muizzu bagi membincangkan usaha mempertingkat hubungan kedua-dua negara, termasuk mengenal pasti bidang baharu yang berpotensi untuk diterokai secara bersama.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dijangka dimeterai atau ditukar oleh kedua-dua pihak. Kerjasama berkenaan dilihat penting dalam mengembangkan hubungan Malaysia-Maldives daripada fokus tradisional kepada bidang yang lebih luas dan berorientasikan ekonomi.
Antara sektor yang menjadi tumpuan termasuk pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan, ekonomi serta kerjasama antara institusi dan sektor perniagaan, lapor Buletin TV3.
Hubungan Malaysia dan Maldives yang telah berlangsung selama 58 tahun turut disokong oleh hubungan rakyat dengan rakyat, pertukaran lawatan peringkat tinggi serta kerjasama pembangunan yang berterusan.
Malaysia sebelum ini turut memainkan peranan dalam pembangunan kapasiti dan modal insan Maldives melalui perkongsian kepakaran serta institusi dalam pelbagai bidang profesional.
Dalam masa sama, sektor pelancongan dan pendidikan menjadi antara penghubung penting kedua-dua negara. Malaysia juga menjadi salah satu pilihan rakyat Maldives bagi mendapatkan pendidikan tinggi, rawatan kesihatan dan meneroka peluang perniagaan.
Pengalaman Malaysia dalam sektor seperti pembangunan pelancongan, kewangan Islam, pendigitalan, pendidikan dan pembangunan modal insan pula dilihat mampu membantu Maldives memperkukuh serta mempelbagaikan ekonominya.
Bagi Malaysia, hubungan yang lebih erat dengan Maldives berpotensi memperluas jaringan ekonomi dan institusi negara di rantau Lautan Hindi, selain membuka peluang kepada kerjasama komersial yang lebih besar dalam sektor maritim dan pelancongan.
Selain bertemu Muizzu, Anwar turut dijadual menerima kunjungan hormat Naib Presiden Maldives, Uz Hussain Mohamed Latheef; Speaker People’s Majlis, Abdul Raheem Abdulla; serta Menteri Luar, Iruthisham Adam.
Lawatan tersebut juga mencerminkan usaha Malaysia memperluas hubungan diplomatik di rantau Lautan Hindi selepas penglibatan Anwar dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi dan lawatan kerja beliau ke Keralam.
Secara keseluruhannya, pertukaran MoU yang dirancang dijangka menjadi asas kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih praktikal dan memberi manfaat bersama, sekali gus membawa hubungan Malaysia-Maldives ke tahap yang lebih kukuh serta berpandangan jauh.





