Pegawai SPRM tarik balik laporan polis terhadap peguam Muhyiddin

SEORANG pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik laporan polis dibuat terhadap peguam kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu ditimbulkan pada prosiding perbicaraan kes Jana Wibawa yang dihadapi Presiden Bersatu itu.

Pegawai penyiasat SPRM, Mazery Mohd Zaini berkata, pembantunya sudah menarik balik laporan itu pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Laporan polis itu berhubung isu ditimbulkan peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan kes berkenaan, membabitkan rakaman percakapan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad dalam kes berlainan.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, hasil semakannya di ibu pejabat SPRM mendapati, tiada kebocoran maklumat daripada pegawai agensi itu berhubung rakaman percakapan atau dokumen yang dipersoalkan.

“Saya berpuas hati, tiada sebarang keterangan atau apa-apa dokumen yang keluar daripada pegawai SPRM sendiri.

“Justeru, saya terus meminta pembantu untuk menarik balik laporan yang dibuat pada jam 12.45 tengah hari tadi,” katanya, lapor Harian Metro.

Mazery berkata demikian pada perbicaraan kes Jana Wibawa dihadapi Muhyiddin yang berdepan tiga pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta keterangan pembantunya diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dikeluarkan terhadap laporan polis berkenaan.

“Dengan ini saya harap Datuk Amer Hamzah dapat menerima pemahaman dan tindakan pantas yang saya buat demi kemaslahatan dan keharmonian perbicaraan hari ini,” katanya.

Pada prosiding pagi tadi, Amer Hamzah memohon mahkamah supaya pegawai penyiasat SPRM dalam perbicaraan kes Program Jana Wibawa dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Amer Hamzah berkata, laporan berkenaan kemudian disiarkan media, sekali gus didakwa sebagai percubaan mencemar imejnya selaku salah seorang peguam yang mewakili ahli politik berkenaan.

Katanya, saksi sebelum ini menerima arahan mahkamah supaya tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak ketika masih memberi keterangan.

Sehubungan itu, Mazery yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM memohon maaf kepada barisan peguam, khususnya Amer Hamzah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here