KOD QR dan teknologi Near Field Communication (NFC) antara ciri baharu pada MyKad Generasi Baharu yang menarik perhatian orang ramai selepas menerima kad pengenalan berkenaan.
Bagi penjawat awam, Amirul Mohamad Shazli Kamaruzaman, 33, kewujudan kod QR di bahagian belakang serta penambahbaikan pada cip menjadikan MyKad baharu lebih moden dan selamat.
“Saya sangat sarankan orang lain tukar. Lebih kepada futuristik dan keselamatan. Keselamatan yang penting.
“Yang ini memang lebih selamat. Cip pun ada di bahagian belakang,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Foo Yew Jin, 36, berkata walaupun perbezaan fizikal MyKad baharu dengan kad lama tidak begitu ketara, penambahan ciri keselamatan memberikan rasa lebih selamat kepada pemegangnya.
“Kad itu nampak lebih kurang sama. Tetapi untuk apa yang saya tahu, cip ini dah lebih kuat dan kad itu akan ada lebih banyak fungsi pada masa depan.
“Sekarang dah tambah beberapa ciri keselamatan termasuk QR di belakang. Dengan banyak isu keselamatan siber sekarang, bagus kalau badan-badan boleh melindungi kita sebagai rakyat,” katanya.
Pesara, Bahari Baharom, 68, pula menyambut baik pengenalan MyKad Generasi Baharu yang disifatkannya mempunyai ciri keselamatan lebih baik berbanding kad terdahulu.
“Saya sarankan orang ramai tukar kerana ciri-ciri keselamatan yang lebih baik daripada yang lama. Saya rasa gembira kerana dapat tukar IC baharu ini,” ujarnya.
MyKad Generasi Baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan fizikal, termasuk teknologi NFC yang membolehkan cip dibaca secara kontak dan tanpa sentuhan, kod QR, Transparent Window, Hologram Keselamatan Dinamik, elemen Ultra Ungu, Corak Gilosh, Micro Text serta lapisan polikarbonat.





