Polis tumpaskan sindiket didalangi warga asing, rampas dadah lebih RM35.24 juta

POLIS  menumpaskan sindiket mengedar dan memproses dadah yang didalangi dua lelaki warga asing dalam enam serbuan di Lembah Klang pada 10 Sept lepas, dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM35.24 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi di Ampang, Petaling, Kepong, Brickfields, Subang Jaya dan Sepang itu, turut membawa kepada penahanan 11 suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing, berusia antara 25 hingga 48 tahun.

Beliau berkata dua lelaki warga asing berkenaan, yang masing-masing memegang pasport Australia dan Kanada dipercayai bertindak sebagai dalang serta ahli kimia sindiket itu, yang mula bergiat aktif sejak Januari lepas.

“Sindiket ini menjadikan sebuah banglo yang disewa di Ampang sebagai makmal memproses dadah, serbuan di Subang Jaya turut membawa kepada penemuan pelbagai alat memproses dadah, dipercayai premis berkenaan sedang disiapkan untuk dijadikan makmal dadah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, lapo Bernama.

Hussein berkata rampasan dadah itu membabitkan serbuk methamphetamine seberat 344.89 kilogram (kg), cecair methamphetamine (347.15 liter), serbuk MDMA (3.84 kg), pil eramin 5 (630 gram) dan ganja (20 gram), yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada tiga juta pengguna.

Beliau berkata berdasarkan jumlah dadah yang dihasilkan, ia dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Polis turut merampas 11 kenderaan, seutas jam tangan mewah, dua kad ATM dan wang tunai berjumlah RM3,610 selain sepucuk pistol revolver .38. Semua barangan rampasan bernilai RM1.79 juta dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Hussein berkata lima suspek direman selama 13 dan 14 hari sehingga 23 dan 24 Sept ini, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam suspek lagi dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen serta tindakan agresif dan integriti JSJN dalam memerangi ancaman dadah secara menyeluruh. JSJN sentiasa komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here