Antara komitmen Malaysia, keikhlasan Pemerintah Thailand dan keangkuhan puak pemisah

KETIKA mengakhiri lawatan dua hari ke Malaysia pada 7 September lalu, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow memaklumkan kepada media Thailand beberapa perkara yang dipertegaskan oleh Malaysia berkaitan situasi di sempadan.

  • Paling utama Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memperkukuh keselamatan sempadan dan memajukan proses dialog damai di wilayah sempadan selatan.
  • Thailand dan Malaysia akan menyelaraskan rancangan bagi pembinaan pagar keselamatan di sepanjang sempadan bagi mengelakkan pertindihan serta memfokuskan sumber di kawasan sensitif dan berisiko tinggi.
  • Kedua-dua pihak juga akan menyelaraskan projek infrastruktur dan pembangunan, termasuk jalan raya, landasan kereta api dan jambatan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta memastikan inisiatif mereka saling melengkapi dan bukannya bertindih.
  • Malaysia menegaskan semula bahawa negara itu tidak mempunyai dasar membenarkan wilayahnya digunakan oleh kumpulan yang berusaha menjejaskan keselamatan Thailand.

Keempat-empat perkara ini membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk berusaha mencari apa juga kaedah dan jalan bagi membolehkan  Selatan Thailand tidak lagi dianggap kawasan konflik.

Ia kerana ternyata apa yang berlaku sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak dan paling malang terus menggugat kehidupan penduduk Islam di wilayah itu.

Apa yang menjadi persoalan, sejauh manakah puak pemisah di Selatan Thailand menerima dan memahami keikhlasan serta kesungguhan kerajaan kedua-dua negara untuk mendamai dan memakmurkan wilayah tersebut.

Sampai bilakah puak pemisah mahu memilih jalan keganasan dan meragut nyawa insan-insan tidak berdosa demi mencapai perjuangan sia-sia mereka? Kenapa mereka mahu terus berkonfrantasi dengan pemerintah Thailand dan tidak menghormati pengorbanan Malaysia menjadi fasilitator?

Hakikatnya, Malaysia boleh membiarkan sahaja puak pemisah berunding dengan pemerintah Thailand atau membiarkan sahaja pemerintah Thailand melakukan apa sahaja tindakan demi mempertahan kedaulatan negara itu.

Tetapi sebagai negara jiran, Malaysia tidak mahu konflik itu akhirnya akan menjejaskan keselamatan kedua-dua negara. Sebab itulah Malaysia bersedia menjadi fasililator. Puak pemisah, khususnya Barisan Revolusi Nasional (BRN) tidak perlulah mengada-gada atau terus berdegil dengan memilih jalan keganasan untuk mencapai apa yang mereka mahukan.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Pemerintah Thailand tetapi BRN masih gagal memastikan keganasan tidak berlaku di Selatan Thailand. Mereka mendabik dada kononnya merekalah puak pemisah paling sesuai diajak berunding tetapi apa hasilya?

Sudah bertahun-tahun rundingan damai dijalankan tetapi Selatam Thailand masih belum aman, oleh itu tidakkah BRN berasa malu dengan keadaan itu? Kalau mereka hebat sangat, kalau mereka berkuasa sangat kenapa situasi tersebut masih terjadi?

Lihat apa yang berlaku pada 22 Ogos lalu, bagaimana beberapa serangan dilaporkan berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala yang menyasarkan bangunan kerajaan, kedai serbaneka, premis perniagaan, kenderaan dan tiang utiliti. Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera di Narathiwat.

Malangnya tidak ada kumpulan mengaku bertanggungjawwab termasuklah BRN. Maknanya BRN tidak ada kuasa apa-apa untuk menghentikan serangan. Atas sebab itulah ada pandangan supaya rundingan damai yang dijalankan perlu menjemput juga puak-puak pemisah lain di Selatan Thailand. Ia kerana sedikit sebanyak antara mereka pasti ada pengaruh.

Bagaimanapun pemilihan puak pemisah perlu dilakukan berhati-hati. Pilihlah mereka yang benar-benar memahami hati nurani penduduk Islam, bukannya hidup senang lenang di luar tetapi dok bercakap berdegar-degar soal memperjuangkan Selatan Thailand.

Apapun puak pemisah harus ingat berdasarkan komitmen Thailand dan Malaysia adalah jelas kedua-dua negara itu mahu menamatkan konflik di wilayah berkenaan kerana jika konflik berterusan kedua-dua negara akan tergugat.

Berikutan itulah Malaysia menegaskan, negara itu tidak akan  membenarkan wilayahnya digunakan oleh kumpulan yang mahu menjejaskan keselamatan Thailand.

Penegasan Malaysia ini harus memahami pemahaman kepada puak pemisah khususnya  BRN jangan ingat Kerajaan Malaysia akan melindungi apatah lagi menyokong perjuangan songsang mereka. Justeru lebih baik jika puak pemisah tidak mensia-siakan komitmen Malaysia dalam proses rundingan damai. Sudah berapa orang fasilitator  berganti tetapi konflik tidak juga selesai.

Persoalannya sampai bilakah semua itu akan berlanjutan? Berapa ramai lagi yang tidak berdosa harus terkorban? Berapa banyak lagi harta benda mahu dimusnahkan? dan Berapa tahun lagi rundingan damai mahu diadakan?

Bukan salah komitmen Malaysia dan bukan silap keikhlasan Pemerintah Thailand sebaliknya kedegilan serta keangkuhan puak pemisah yang terus memilih jalan keganasan untuk memenuhi impian mereka.Itu saja!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here