MALAYSIA kekal dengan dasar terbuka dalam menarik pelaburan asing bagi sektor strategik negara, termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan unsur nadir bumi (REE), tanpa menyekat penyertaan mana-mana negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu turut dijelaskan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, menerusi perbualan telefon malam tadi.
Menurutnya, perbincangan itu antara lain menyentuh persiapan sekiranya berlangsung pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump, sama ada di Manila atau Shanghai.
Anwar berkata, pihak AS menyuarakan harapan supaya peluang pelaburan syarikat negara itu dalam sektor AI dan cip semikonduktor tidak terjejas akibat persaingan atau campur tangan negara lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak akan mencampuri keputusan pelaburan negara lain, sebaliknya memberi ruang kepada semua pihak untuk meneroka peluang ekonomi berdasarkan dasar dan peraturan ditetapkan.
“Desakan mereka adalah supaya peluang untuk pelaburan Amerika (AS) terutama untuk AI dan cip itu tidak digugat oleh mana-mana negara lain. Saya kata memang kita tidak campur dari sudut keputusan masing-masing negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas Ampang di Ampang hari ini.
Sebagai contoh, Anwar berkata, pelaburan Google bernilai AS$15 bilion akan dipercepatkan dalam tempoh dua tahun, dengan syarikat berkenaan perlu menanggung sendiri kos berkaitan bekalan air, latihan serta penyediaan kemudahan universiti.
Katanya, pendekatan itu membolehkan Malaysia terus membuka peluang kepada pelabur AS tanpa menutup ruang kepada China atau negara lain yang berminat melabur dalam sektor berkenaan.
“Kerana umpamanya Google telah melabur USD15 bilion dan itu akan dipercepatkan dalam tempoh dua tahun. Syarat kita; bekalan air, latihan, kemudahan di universiti itu semua ditampung oleh syarikat itu sendiri.
“Jadi saya bagi tahu itu, tapi bagi ruang kepada Amerika, tapi tidak menyekat umpamanya kegiatan negara China atau negara-negara lain,” katanya.
Mengulas sektor REE pula, beliau berkata, Malaysia turut mengamalkan pendirian terbuka terhadap pelaburan asing, namun menetapkan syarat supaya aktiviti pemprosesan dilaksanakan dalam negara dan mematuhi peraturan tempatan.
Tegasnya, penglibatan pelabur dalam sektor itu juga perlu mengambil kira aspek keselamatan negara, termasuk memastikan hasil pemprosesan tidak digunakan bagi menghasilkan peralatan persenjataan yang boleh mengancam keselamatan.





