Anwar hormati keputusan UMNO bayar denda Najib, namun tegas tolak rasuah

DATUK Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan UMNO untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, namun menegaskan pendiriannya bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dikompromi.

Perdana Menteri berkata, keputusan UMNO berhubung pembayaran denda bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah adalah hak parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana bimbang ia memberi gambaran seolah-olah kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan.

“Tak mengapalah kalau itu keputusan UMNO, dia nak bayar RM50 juta, itu kerja dia.

“Pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana kita tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas di Ampang hari ini.

Anwar berkata, prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus dipertahankan, khususnya dalam mendidik generasi muda supaya menjadikan integriti sebagai pegangan hidup.

Katanya, masyarakat perlu dididik dengan nilai akhlak yang tegas dalam menolak sebarang bentuk penyelewengan kuasa dan rasuah tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.

“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita iaitu satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Bagaimanapun saya menghormati keputusan UMNO kerana itu hak mereka. Jadi itu pendapat saya, saya dah zahirkan,” katanya.

Media hari ini melaporkan, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Farhan Shafee yang hadir ke mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi dengan membawa sebuah beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan pembayaran serta melengkapkan prosedur pentadbiran berkaitan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here