KEPUTUSAN Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan di rumah tidak menjejaskan pendirian kerajaan untuk terus membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua kes rasuah, termasuk kes yang sedang berjalan membabitkan Najib, akan diteruskan mengikut landasan undang-undang.
Menurutnya, beliau tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah atau salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana individu.
“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10 di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) tengah hari tadi mengumumkan Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Menurut kenyataan BHEUU, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Kenyataan itu turut menyebut, Najib juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan jika gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal serta beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pagi ini. Mesyuarat berkenaan sebelum ini ditangguhkan pada 11 September.





