BN-PN gariskan 113 inisiatif, 20 komitmen khusus untuk rakyat Melaka

BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggariskan sebanyak 113 inisiatif menerusi enam teras utama dalam manifesto bersama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan 20 komitmen khusus diberi penekanan bagi memenuhi keperluan harian rakyat.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ itu dirangka berdasarkan keperluan kira-kira 687,697 pengundi di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, antara perkara yang diberi perhatian termasuk isu perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, 20 komitmen utama yang dikenal pasti daripada keseluruhan inisiatif itu mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan seharian rakyat dan keperluan masyarakat daripada pelbagai lapisan.

“Untuk makluman semua, sebanyak enam teras utama digariskan dengan mengetengahkan 113 inisiatif yang ditawarkan kepada kira-kira 687,697 pengundi di negeri Melaka.

“Daripada keseluruhan inisiatif terbabit, 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan harian rakyat.

“Bagi memahami maksud komitmen ini, kita perlu melihatnya bukan sekadar sebagai angka atau senarai program, tetapi melalui keperluan masyarakat pada setiap peringkat kehidupan,” katanya ketika melancarkan manifesto BN-PN bagi PRN Melaka di MITC Ayer Keroh, hari ini, lapor BH.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, perancangan manifesto itu turut mengambil kira keperluan golongan berbeza, termasuk warga emas yang memerlukan penjagaan dan sokongan ketika melalui fasa usia lanjut.

Katanya, selain menangani cabaran semasa, kerajaan negeri juga perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagi memastikan Melaka bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan tuntutan pembangunan pada masa depan.

“Inilah antara realiti kehidupan yang menjadi pertimbangan dalam merangka manifesto bersama ini.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan persediaan menghadapi cabaran masa depan, termasuk perubahan ekonomi, kemajuan teknologi, peluang pekerjaan baharu dan tuntutan pembangunan yang semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata, manifesto bersama itu mencerminkan usaha BN dan PN menyelaraskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat menerusi satu dokumen dasar yang dipersetujui kedua-dua gabungan.

Menurutnya, kejayaan setiap tawaran yang digariskan bergantung kepada keupayaan melaksanakannya secara terancang, selain memastikan setiap inisiatif memberikan manfaat sebenar kepada masyarakat.

“Saya yakin, kerjasama BN dan PN dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang teratur, pengurusan yang bertanggungjawab dan hasil yang benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

BN meletakkan 23 calon, manakala PN mempertaruhkan lima calon pada PRN Melaka ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian, sementara 10 November ini sebagai Undi Awal.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here