AGC tangguh tahanan rumah Najib, mahu penjelasan lanjut perintah pengampunan

PELAKSANAAN tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan kepastian mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas timbul persoalan perundangan berhubung kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap perintah berkenaan yang perlu diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.

Tafsiran pertama menyatakan pembayaran denda itu hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028 dengan kaedah pelaksanaan melalui tahanan rumah.

Sebaliknya, tafsiran kedua menganggap pembayaran RM50 juta sebagai syarat yang mengaktifkan sepenuhnya pengampunan, sekali gus membawa maksud keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk penjara, dianggap selesai.

“Dalam tempoh tersebut, status penahanan beliau hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.

“Penangguhan sementara ini bukan bertujuan untuk mempertikaikan atau mengetepikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar,” kata jabatan itu.

AGC berkata, perbezaan tafsiran itu turut memberi kesan kepada perintah Order of Discharge on Payment of Fine yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu selepas pembayaran denda berkenaan direkodkan.

Perintah mahkamah itu mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menetapkan baki hukuman perlu dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Isu berkenaan juga mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memandangkan hukuman bagi kes itu ditetapkan bermula selepas selesai hukuman penjara kes SRC International.

Dalam perkembangan berkaitan, AGC turut mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu yang menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB.

Sehubungan itu, AGC berpandangan penjelasan undang-undang yang muktamad perlu diperoleh terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan titah pengampunan serta perintah mahkamah tidak menimbulkan kekeliruan.

Jabatan itu menegaskan isu berkenaan melibatkan persoalan perundangan kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, selain merupakan keadaan yang belum pernah dihadapi sebelum ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here