Pengampunan bersyarat Najib: DAP bincang pendirian dalam mesyuarat CEC esok

DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) esok, bagi membincangkan dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, mesyuarat itu akan mengambil kira pendirian parti berhubung keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong hari ini memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Anthony dalam pada itu berkata, DAP mengambil serius keputusan berhubung tahanan rumah itu susulan pendirian parti terhadap skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkannya sebagai skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara.

Menurutnya, sabitan terhadap Najib dalam kes berkaitan 1MDB adalah keputusan mahkamah dan kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.

Beliau berkata, kesan kewangan daripada penyelewengan itu masih ditanggung kerajaan dan rakyat sehingga kini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB, termasuk supaya penyelewengan disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa melalui proses undang-undang yang bebas serta adil.

“Kami juga tidak melupakan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB adalah antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

“Amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sudah menyampaikan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Pengampunan.

Katanya, seperti yang sudah dijelaskan Hannah, pandangan itu disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.

Pada masa sama, Anthony berkata, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here