Ops Fella: SPRM akan syor pertuduhan ke atas dua pengurusan kanan Felda

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dua bekas pengurusan kanan Felda berhubung penyelewengan dalam projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kertas siasatan bagi projek berkenaan sudah siap dan akan dikemukakan syor pertuduhan kepada minggu depan bagi mendapatkan keizinan mendakwa.

‘’Sekiranya segalanya berjalan lancar dan keizinan diperoleh, pertuduhan akan difailkan di mahkamah pada minggu selepas itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang hari ini.

Sebelum ini SPRM telah menahan dua individu, iaitu bekas pengarah besar Felda dan juga bekas ketua pegawai eksekutif (Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC). Mereka telah direman beberapa hari oleh mahkamah dan kini dibebaskan dengan jaminan agensi itu.

Abd Halim memaklumkan, SPRM telah merakam keterangan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 September lalu bagi membantu siasatan kes Op Fella.

Katanya, rakaman keterangan itu yang dijangka bersambung minggu depan adalah berkaitan isu pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta FIC yang disyaki terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.

Abdu Halim berkata, siasatan itu meliputi tempoh 10 tahun dari 2010 hingga 2020, dengan enam kertas siasatan baharu dibuka, manakala satu lagi kertas siasatan lama diteruskan.

“Setakat 18 September, 34 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakamkan berkaitan kes-kes yang disiasat oleh pihak SPRM, iaitu tujuh kes, dan antara saksi itu ialah bekas ahli lembaga pengarah Felda dan bekas ahli lembaga pengarah FIC.”

Daripada tujuh kes itu, katanya SPRM kini menumpukan isu membabitkan dakwaan penyelewengan dalam projek KLVC.

Menurutnya, keterangan 30 saksi, termasuk ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Felda telah dirakam berhubung siasatan KLVC yang kini selesai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here