TIGA penunggang motosikal maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan itu kira-kira jam 3.35 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati semua kenderaan berkenaan sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun yang juga penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi penunggang motosikal berusia 19 tahun yang menerima rawatan kemudian disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Raja Permaisuri Bainun,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memaklumkan sembilan penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun turut mengalami kecederaan dan dibawa ke HRPB, Ipoh untuk mendapatkan rawatan.
“Ketiga-tiga pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan urutan sebenar kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Muhammad Najib turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.





