Perkeso tambah baik faedah Skim Insurans Pekerjaan, perlindungan sehingga RM25,000 mulai 1 Oktober

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menambah baik faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) bagi membolehkan pencarum menerima jumlah keseluruhan sokongan dan perlindungan sehingga RM25,000 seorang mulai 1 Oktober ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata penambahbaikan itu merangkumi peningkatan kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan.

Turut diperkenalkan adalah Elaun Bantuan Mobiliti (EBN) secara sekali bayar RM1,000 bagi pencarum yang mendapat pekerjaan baharu melebihi jarak 100 kilometer dari tempat kediaman serta kenaikan elaun latihan harian daripada RM10 kepada RM30.

“Had maksimum yuran latihan pula ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi memberikan sokongan lebih padu kepada pencarum untuk meningkatkan kemahiran mengikut tuntutan pasaran kerja semasa.

“Kita mahu perkhidmatan PERKESO bergerak seiring dengan pencarum melalui pemadanan kerja, khidmat nasihat kerjaya dan latihan semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata penganjuran festival itu turut membawa berita gembira kepada sektor ekonomi gig apabila menerima sumbangan RM1.514 juta daripada syarikat penyedia platform bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial buat 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Jumlah itu merangkumi sumbangan RM1 juta daripada Foodpanda, RM500,000 daripada Grab dan RM14,412.40 daripada Halo.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan pelaksanaan dasar yang mewajibkan penyedia platform menyediakan caruman perlindungan sosial kepada pekerja gig.

“Di sebalik setiap rider dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Perlindungan sosial ini adalah jaringan keselamatan yang amat penting apabila berlaku perkara tidak dijangka,” katanya.

Mengenai Skim Lindung 24 Jam, Ramanan berkata 87 peratus pekerja menyokong serta mendaftar di bawah skim berkenaan dan menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat palsu di media sosial.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here