APABILA DAP mengumumkan akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ramai yang menyangka parti itu akan meninggalkan Kabinet tetapi terus menyokong kerajaan.
Bagaimanapun hari ini hanya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Anthony berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat tersebut di Ibupejabat DAP, Kuala Lumpur, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, keputusan berkenaan dicapai selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat dan membahaskan perkara itu selama hampir tiga jam hari ini.
“Pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan. Saya akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya
Beliau berkata, barisan menteri dan timbalan menteri DAP turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan pada bila-bila masa.
Ketika ini terdapat 11 pemimpin DAP berada dalam Kabinet iaitu lima menteri penuh dan enam timbalan menteri.
Anthony berkata, CEC memutuskan mereka perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini bagi menjamin kestabilan politik negara dan mengelakkan pentadbiran Anwar kehilangan sokongan majoriti.
Katanya lagi, DAP menyedari terdapat pihak tertentu yang menunggu parti itu keluar daripada kerajaan sehingga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik atau membawa kepada perubahan kerajaan.
“Kita amat sedar permainan politik pihak tertentu dan harapan mereka supaya DAP membuat keputusan yang membolehkan cita-cita politik mereka tercapai. Kita tidak akan memberi ruang kepada perkara itu,” katanya.
Mengulas keputusan tahanan rumah Najib, Anthony berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan.
Bagaimana tegas beliau, DAP berpandangan keputusan berkenaan sukar diterima kerana negara tidak mempunyai peruntukan undang-undang atau duluan melibatkan individu yang disabitkan atas kesalahan rasuah menjalani hukuman secara tahanan di rumah.
Anthony menegaskan, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kleptokrasi telah membelenggu negara sejak sedekad lalu serta menyebabkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit.
‘’ DAP akan terus berpegang kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal,’’ tegasnya.





