DANA Peladang Kebangsaan (DPK)merekodkan keuntungan bersih RM8.13 juta bagi Tahun Kewangan 2025 dengan mengumumkan agihan pulangan sehingga 7.0 peratus bagi pelaburan RM5,000 pertama, di samping mengekalkan pertumbuhan portfolio pada tahap berdaya tahan.
Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata, struktur agihan 2025 menggabungkan dividen asas 3.0 peratus bagi semua pelaburan yang layak serta bonus khas 4.0 peratus bagi RM5,000 pertama pelaburan.
Kata NAFAS, pendekatan ini memberi manfaat langsung, iaitu pulangan efektif maksimum sehingga 7.0 peratus kepada 7,462 orang ahli yang mempunyai jumlah pelaburan RM5,000 dan ke bawah.
‘’Pada masa yang sama, nilai portfolio DPK terus merekodkan peningkatan modal kukuh dengan setiap RM1 pelaburan kini bernilai semasa RM1.40. Ini mencerminkan pertumbuhan modal kumulatif 40 peratus hasil daripada pengurusan dana, kecairan, dan risiko secara berdisiplin,’’ kata NAFAS.
Menurut NAFAS, keuntungan bersih RM8.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 membuktikan keupayaan DPK untuk terus menjana keuntungan meskipun berdepan persekitaran pasaran kewangan dan kitaran makroekonomi yang mencabar.
Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, dasar agihan tahun 2025 ini dirangka bagi memastikan prestasi dana diterjemahkan kepada manfaat ahli, sambil mengekalkan asas kewangan yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Keutamaan DPK sentiasa jelas: melindungi modal pokok ahli sambil menjana pulangan yang mampan. Prestasi nilai semasa RM1.40 bagi setiap RM1 membuktikan integriti pengurusan aset kami dalam memelihara dana ahli daripada ketidaktentuan pasaran.
“Struktur agihan dividen asas dan bonus khas ini dirangka khusus bagi memberi manfaat pulangan efektif maksimum sehingga 7.0 peratus kepada 7,462 ahli yang mempunyai jumlah pelaburan RM5,000 dan ke bawah.
‘’Pada masa sama, keputusan mengekalkan sebahagian modal ke dalam dana rizab merupakan langkah berhemah untuk membina penampan mudah tunai (liquidity buffer), memperkukuh daya tahan dana, dan meletakkan DPK pada kedudukan terbaik untuk merebut peluang pelaburan strategik masa hadapan,” katanya.
NAFAS menyatakan, penetapan agihan Tahun Kewangan 2025 bersandarkan pematuhan ketat terhadap prinsip pemeliharaan modal teras (capital preservation), kepelbagaian portfolio, dan nisbah kecairan yang berdisiplin.
‘’Strategi ini memastikan DPK berdaya tahan terhadap ketidaktentuan pasaran modal tanpa mendedahkan prinsipal ahli kepada risiko spekulatif,’’ kata NAFAS.
Melangkah ke hadapan, menurut NAFAS, DPK akan terus komited memperluas mandat pelaburannya secara berhemah dengan memanfaatkan peluang pertumbuhan bersesuaian, memperkukuh pulangan jangka panjang warga peladang, di samping mengekalkan disiplin pengurusan risiko dan perlindungan kepentingan ahli.





