Konflik perang di Yaman: Malaysia tidak akan hantar MALBATT, tunggu keputusan PBB

MALAYSIA tidak akan menghantar pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) ke Yaman memandangkan negara itu sedang berdepan konflik dan peperangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan MALBATT sebagai pasukan pengaman biasanya dilaksanakan di negara yang berada dalam fasa pascakonflik dan bukannya ketika peperangan.

Beliau berkata, keputusan untuk menghantar pasukan pengaman itu bagaimanapun tertakluk kepada arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak dibuat secara bersendirian.

“Apa-apa pun keputusan kita, ia berpandukan kepada pihak PBB, bukannya kita lakukan secara tersendiri. Jadi, PBB yang buat keputusan sama ada nak hantar pasukan pengaman atau tidak.

“Macam di Lubnan kita pasukan pengaman yang dihantar untuk memastikan syarat-syarat perdamaian itu dipatuhi.

“Tapi, sekarang di Yaman itu konflik perang, PBB tak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi hari ini, lapor BH.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Kerajaan Yaman, namun konflik yang berlaku ketika ini membabitkan kumpulan Houthi yang berkonflik dengan Arab Saudi.

“Negara Yaman yang kita ada hubungan diplomatik dan ada satu lagi kawasan di Yemen yang diduduki oleh kumpulan Houthi. Mereka ini yang sedang berkonflik dengan Arab Saudi, bukan Yaman.

“Kena faham, ini sedang perang, tak akan alih-alih kita nak masuk tengah-tengah (perang), memang akan ada korban jiwa dan raga,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here