KEMENTERIAN Pertahanan telah memeterai sejumlah 24 kontrak dan Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM3.54 bilion sepanjang pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Pemeteraian itu membabitkan 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat bernilai RM1.01 bilion serta lapan perjanjian nilai kredit ICP berjumlah RM1.40 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tempoh pelaksanaan kontrak bergantung kepada syarikat pembuat kapal dan pengeluar peralatan tulen (OEM) yang terbabit.
Menurut beliau, jumlah kontrak dan ICP yang dimeterai pada pameran kali ini lebih rendah berbanding edisi sama dua tahun lalu susulan pembekuan sementara proses pertimbangan perolehan pada awal tahun ini.
“Ini kerana seperti kita sudah maklum pada awal tahun ini, kita membekukan semua proses pertimbangan perolehan bagi kontrak kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Itu bukan bermakna tidak ada lagi perolehan, sebaliknya kerana dua bulan, tiga bulan kita tidak melaksanakan apa-apa proses, maka yang kita tandatangan adalah seperti yang kita saksikan pada hari ini,” katanya dalam sidang media penganugerahan dan pemeteraian kontrak serta ICP di pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur hari ini.
Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Advanced Defence Systems (ADS) Sdn Bhd bersama KNDS France dan Thales Six GTS France SAS.
Menurutnya, kerjasama bersama KNDS memberi tumpuan kepada sistem artileri 105mm LG1 MKIII serta Caesar 155mm Self-Propelled Howitzer, termasuk pemasangan, integrasi dan ujian tempatan di Malaysia.
Katanya, kerjasama bersama Thales pula melibatkan penawaran sistem komunikasi taktikal HF XL serta pembangunan talian pemasangan radio tempatan.
Pameran DSA dan NATSEC Asia edisi ke-19 itu turut mencatat peningkatan penyertaan apabila disertai 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada 2024.
Peningkatan penyertaan itu mencerminkan minat berterusan pemain industri pertahanan global terhadap pasaran Malaysia dan rantau ini, selain memperkukuh kedudukan DSA sebagai antara pameran pertahanan utama dunia.


