PM ucap takziah pemergian bekas ADUN Bongawan Karim Bujang

DATUK Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun hari ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi dugaan atas kehilangan tokoh politik berkenaan.

“Semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan, serta semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau di tempat terbaik di sisi-Nya,” katanya dalam hantaran itu malam ini.

Allahyarham Karim dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, Sabah sekitar tengah hari tadi. Berita pemergian itu disahkan oleh bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar.

Sepanjang hayatnya, Karim merupakan tokoh politik berpengalaman yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013.

Beliau pernah memegang portfolio Pembantu Menteri Kerajaan Negeri Sabah membabitkan Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Allahyarham kemudian menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi calon parti itu bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here