PM imbau pengorbanan Otai Reformasi

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh warga perintis dan pejuang awal Gerakan Reformasi agar terus membakar semangat perjuangan serta tidak membiarkan sebarang rasa kecewa atau terkilan mematahkan tekad membawa perubahan kepada negara.

Amanah dan ingatan itu disampaikan beliau menerusi hantaran di laman Facebook malam ini, menyusuli perhimpunan semula bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini yang telah melalui pelbagai cabaran, derita, dan pengorbanan sejak detik awal gerakan berkenaan dicetuskan.

DATUK Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian daripada perintis reformasi pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Mengimbau kembali detik perjuangan lalu, Anwar menegaskan bahawa kejayaan beliau memikul amanah sebagai Perdana Menteri hari ini adalah hasil daripada pengorbanan serta keberanian yang ditunjukkan oleh para pejuang reformasi sejak sekian lama.

“Mana mungkin saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran itu.

Mengulas lanjut mengenai kesinambungan perjuangan berkenaan, beliau mengingatkan bahawa usaha membina serta mereformasi negara masih belum selesai dan memerlukan daya tahan yang tinggi daripada semua pihak.

“Namun perjuangan ini masih belum selesai, maka gilap semula semangat yang sudah ada, usah pernah letih, usah mudah bebal dan jangan biarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat perjuangan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak agar iltizam dan mesej perjuangan ini terus diwariskan kepada generasi muda, keluarga, serta masyarakat umum supaya api perubahan sentiasa bernyala.

“Himpunkan semula kekuatan dan pesan kepada anak-anak, keluarga, sahabat serta generasi seterusnya bahawa perjuangan membawa perubahan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam.

“Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula. Lawan tetap lawan!” tegas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here