POLIS telah menahan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam pementasan teater didakwa mempersenda Rukun Negara pada 2018.
Ketiga-tiga mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan di Selangor dan Johor tiga hari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Seorang daripada lima pelakon berkenaan telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom. Polis juga sedang mengesan individu yang menularkan video itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas laporan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak berhubung penularan video berdurasi kira-kira 10 minit itu.
Video itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselangi sindiran serta kenyataan didakwa boleh menyentuh sensitiviti perkauman.
Dalam pada itu, Kumar berkata, pemeriksaan terhadap tiga individu terbabit mendapati tiada rakaman pementasan atau kandungan berkaitan Rukun Negara ditemukan dalam telefon, gajet mahu pun akaun media sosial mereka.
Menurut beliau, pementasan itu berlangsung secara tertutup di Penang Art Center (PAC), Pulau Pinang pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat berhubung persembahan berkenaan ketika itu.
“Polis masih menyiasat latar belakang kumpulan teater terbabit serta keadaan pementasan ketika itu,” katanya.
Kumar memaklumkan, polis akan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.





