TAKTIK dua individu menyeleweng petrol bersubsidi menggunakan kenderaan yang diubah suai terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis di Kampung Titi Tinggi Ulu, Padang Besar, malam tadi.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, serbuan kira-kira jam 8 malam itu menahan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an dan lelaki warga Thailand berusia 30-an.
Katanya, operasi membabitkan lapan anggota penguat kuasa selepas pihaknya menjalankan risikan selama seminggu di sebuah kediaman tanpa nombor di kampung berkenaan.
“Semasa serbuan, anggota mengesan aktiviti pemindahan minyak disyaki petrol dari sebuah Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan ke dalam tangki Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan memiliki tangki diubah suai, iaitu di bahagian belakang bagi Proton Waja dan di bahagian bawah bagi Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rohaida berkata, KPDN turut menyita 300 liter petrol bernilai RM597, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua kenderaan dianggarkan RM98,097.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam sindiket penyelewengan barang kawalan, termasuk mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).





