GOLONGAN penyelidik serta institusi pengajian tinggi di negara ini diseru supaya memperkukuh kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi tempatan (telco) bagi meraih pembiayaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, gesaan ini kerana syarikat telco mempunyai peruntukan khas R&D untuk menyokong inovasi ketersambungan dan teknologi.
“Usah hanya memohon daripada Kementerian Komunikasi, dan mohonlah daripada syarikat telekomunikasi.
“Syarikat telekomunikasi ini memahami penuntut dan penyelidik, terutama penuntut tahun pertama merupakan pengguna semasa dan masa depan bagi perkhidmatan mereka. Mereka perlu berada dekat dengan tempat yang membentuk masa depan negara,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa sesi pleno Merangka Laluan Malaysia Menuju 2030: Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Pembangunan Negara bersempena Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS 2026) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Sidang kemuncak itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang juga antara ahli panel bagi perbincangan itu.
Fahmi turut menggalakkan penyelidik memanfaatkan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai `makmal hidup’ untuk menguji inovasi bersama masyarakat luar bandar.
Beliau menjelaskan fungsi NADI kini berkembang menjadi hab e-dagang, pusat kemahiran, serta saluran bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Dahulu, NADI hanyalah untuk menyediakan kesambungan Internet, komputer dan mesin fotostat. Kini, kita dapat mendidik komuniti yang kebanyakannya tinggal antara tiga hingga lima kilometer dari NADI, mengenai cara jualan barangan di platform seperti TikTok Shop dan Shopee,” jelasnya.
Sebagai contoh, seorang peniaga roti di Dengkil berjaya meraih pendapatan RM45,000 sebulan hasil bimbingan di pusat tersebut.
Tambah beliau, Internet luar bandar juga menjadi alat kejuruteraan sosial bagi mengurangkan penghijrahan ke bandar. Malah kelajuan NADI di Felda Soeharto dan Kampung Sim-Sim kini mencecah 1 Gbps, mengatasi kelajuan di Parlimen.
Justeru, beliau menasihati penyelidik supaya tidak kekal terkurung di `menara gading’, sebaliknya berpijak pada realiti demi kemajuan Malaysia.





