SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa cuba membunuh adik iparnya dengan menikam mangsa, Khamis lalu, diperintah menjalani pemeriksaan di Hospital Permai oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.
Majistret Mustaqim Sukarno mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan pemeriksaan terhadap tertuduh dijalankan pada 22 Oktober ini bagi menentukan sama ada dia layak dibicarakan atau membuat pengakuan terhadap pertuduhan.
Tertuduh didakwa cuba membunuh adik iparnya, lelaki berusia 18 tahun, dengan menikam mangsa menggunakan pisau, lapor Harian Metro.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Senggarang, kira-kira jam 5 pagi, 17 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut tidak menawarkan ikat jamin memandangkan tertuduh tinggal bersama mangsa serta saksi kejadian.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual barangan terpakai diwakili peguam Siti Farha Farieb, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim.
Turut hadir di mahkamah ialah mangsa yang juga adik ipar tertuduh dan dibenarkan keluar hospital, Sabtu lalu.





