Institusi pendidikan swasta : Ukur pemilikan, bukan sekadar penyertaan

Oleh: Dr Anuar Ahmad

SAYA merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 21 September 2026 bertajuk ‘Penyelarasan Syarat Pemilikan Institusi Pendidikan Swasta Bawah Kementerian Pendidikan.

 Di perenggan kedua terdapat frasa yang berbunyi “… KPM bersetuju bahawa ketetapan pemilikan sekurang- kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS bawah KPM”.

Ini secara langsung membawa maksud dan boleh difahami oleh umum sebagai pengguguran atau pemansuhan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera di dalam institusi pendidikan swasta di bawah KPM.

Apabila membincangkan pendidikan Malaysia, perhatian lazimnya tertumpu kepada sekolah kerajaan, guru, murid, kurikulum, peperiksaan dan peruntukan awam. Pendidikan swasta sering dianggap sebagai sektor pelengkap kepada sistem pendidikan negara.

Hakikatnya, pendidikan swasta merupakan industri pendidikan yang besar. Sektornya merangkumi prasekolah, pendidikan rendah dan menengah, pendidikan teknikal dan vokasional, kolej, universiti, pusat tuisyen, serta pelbagai perkhidmatan pendidikan lain.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM 2023) menunjukkan secara keseluruhannya pada 2022 terdapat 18,242 institusi pendidikan swasta berbagai saiz di Malaysia, meningkat daripada 11,722 pada tahun 2015, berkembang pada kadar tahunan 6.5 peratus.

Dalam tempoh yang sama, hasil sektor perkhidmatan pendidikan swasta negara meningkat daripada RM15.2 bilion kepada RM24.1 bilion, berkembang sebanyak 6.9 peratus. Manakala nilai tambah industri pendidikan swasta antara tahun 2015 dan 2022 pula telah meningkat daripada RM9.4 bilion kepada RM15.1 bilion, berkembang sebanyak 7.0 peratus.

Sektor pendidikan swasta di Malaysia melibatkan 186,354 orang tenaga kerja pada 2022, berbanding 134,361 orang pada 2015. Jumlah gaji dan upah meningkat daripada RM4.3 bilion kepada RM6.3 bilion.

Manakala nilai aset tetap industri pendidikan swasta telah meningkat daripada RM14.3 bilion kepada RM21 bilion bagi tempoh yang sama. Angka-angka ini adalah angka rasmi DOSM untuk keseluruhan industri pendidikan swasta dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan tinggi.

Angka-angka ini seharusnya membuka mata kita tentang saiz sebenar industri swasta di negara ini. Lebih penting, sektor ini mempunyai permintaan yang akan berterusan. Setiap tahun terdapat generasi baharu yang memerlukan pendidikan, sementara perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan pula mewujudkan permintaan baharu terhadap latihan dan peningkatan kemahiran.

 Justeru, pertumbuhan pendidikan swasta bukan sekadar pertumbuhan jumlah sekolah atau institusi. Ia adalah pertumbuhan sebuah ekosistem ekonomi yang melibatkan modal, hartanah, teknologi, tenaga kerja, perkhidmatan profesional dan pelaburan jangka panjang.

Data ini membuktikan industri pendidikan swasta sudah menjadi sektor ekonomi yang mempunyai modal, aset tenaga kerja dan nilai tambah yang besar.  Apabila sesebuah sektor industri mencapai skala sedemikian, satu persoalan menjadi relevan untuk diutarakan, siapakah yang memiliki industri tersebut?

Di sinilah persoalan pemilikan menjadi penting. Dalam perbincangan mengenai penyertaan Bumiputera dalam pendidikan, perhatian sering diberikan kepada akses pendidikan, latihan, graduan, pekerjaan dan keusahawanan. Semua itu penting.

 Tetapi dalam konteks sebuah industri yang semakin besar, satu lagi ukuran perlu diberi perhatian ialah pemilikan modal industri pendidikan swasta. Pekerjaan memberikan pendapatan.

Seorang guru atau pensyarah bumiputera mungkin menjadi tenaga penting dalam industri pendidikan swasta. Namun, kedudukan sebagai pekerja berbeza daripada pemilik ekuiti. Pemilikan memberikan kepentingan dalam aset, ekuiti, keuntungan dan pertumbuhan nilai syarikat.

Maka, persoalan yang wajar dikemukakan bukan sekadar berapa ramai bumiputera bekerja dalam industri pendidikan swasta, tetapi sejauh mana bumiputera mempunyai pemilikan dalam industri pendidikan swasta?

Pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera

Menurut KPM, penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

KPM turut merujuk kepada syarat yang sebelum ini dinyatakan bagi institusi pendidikan swasta tertentu dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.

Sebenarnya isu ini mempunyai dimensi yang lebih luas daripada sekadar syarat operasi institusi pendidikan. Ia menyentuh kawal selia pendidikan, dasar pemilikan ekuiti dan strategi pembangunan ekonomi bumiputera di dalam industri pendidikan swasta.

Keterbukaan pasaran dan mengekalkan pemilikan ekuiti bumiputera tidak semestinya dua agenda yang bertentangan. Di sinilah perbincangan dasar berkaitan ekonomi Bumiputera perlu bergerak daripada persoalan “ada atau tiada kuota bumiputera” kepada persoalan yang lebih substantif, apakah mekanisme yang akan mampu memastikan kumpulan bumiputera terus mempunyai peluang membina pemilikan dalam industri pendidikan swasta? .

Industri pendidikan swasta memerlukan modal, teknologi, kepakaran dan pelaburan jangka panjang. KPM sendiri menyatakan bahawa penyelarasan syarat tersebut bertujuan memenuhi keperluan semasa sektor dan mengekalkan ruang penyertaan kepada semua pihak.

Namun, dibimbangi, hasil kepada dasar keterbukaan pasaran sektor pendidikan swasta tidak menghasilkan struktur pemilikan yang seimbang. Pasaran terbuka menentukan hanya mereka yang mampu akan memiliki industri. Pemilikan melalui pasaran terbuka banyak bergantung kepada siapa yang mempunyai modal, akses pembiayaan, kepakaran pengurusan dan keupayaan mengembangkan syarikat.

Maka, jika instrumen syarat ekuiti bumiputera telah dimansuhkan, persoalan dasar yang mesti diteliti sekarang ialah sama ada terdapat instrumen lain yang mampu membina kapasiti pemilikan bumiputera di dalam industri pendidikan swasta?

Jika tiada, terdapat risiko bahawa kumpulan bumiputera akan terus kekal dari segi penyertaan sebagai pelajar dan tenaga kerja, tetapi lemah dari segi pemilikan aset dan ekuiti industri pendidikan swasta. Jurang ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Data DOSM tentang pemilikan RM21 bilion aset tetap sektor pendidikan swasta pada 2022 juga penting untuk diteliti. Di belakang angka besar itulah terdapat aset fizikal seperti bangunan, tanah, kampus, makmal, peralatan, teknologi dan pelbagai kemudahan yang mempunyai nilai ekonomi.

Sebab itu perbincangan tentang ekonomi bumiputera mengenai pembangunan pendidikan swasta tidak wajar hanya menggunakan ukuran pekerjaan dan pendapatan. Kita juga perlu mengetahui struktur pemilikan aset.

Berapakah nilai aset pendidikan swasta yang dimiliki bumiputera? Berapakah bangunan sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai pemilikan bumiputera? Berapakah syarikat pendidikan dan teknologi pendidikan yang dimiliki bumiputera?

Berapakah nilai ekuiti mereka? Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan data pendidikan biasa kerana statistik pendidikan lazimnya hanya mengukur bilangan pelajar, guru, institusi dan pencapaian.

Kita memerlukan data pemilikan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta. Tanpa data itu, perdebatan tentang pemilikan Bumiputera mudah menjadi sekadar andaian.

Jika pendekatan kerajaan sekarang lebih kepada menekankan keterbukaan pasaran, maka agenda pemilikan bumiputera memerlukan instrumen afirmatif yang berbeza. Fokusnya bukan semata- mata memberikan perlindungan kepada syarikat pendidikan swasta bumiputera, tetapi untuk membina keupayaan mereka bersaing dan berkembang.

Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah penubuhan Dana Ekuiti Pendidikan bumiputera untuk pelaburan dalam syarikat pendidikan Bumiputera yang berpotensi, skim pembiayaan pengambilalihan institusi pendidikan sedia ada dan skim padanan pelaburan antara kerajaan, institusi kewangan serta pelabur swasta.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan yang sedang berkembang seperti edtech, kecerdasan buatan, kandungan digital dan platform pembelajaran.

Dalam ekonomi pendidikan masa depan, pemilikan tidak semestinya terletak pada bangunan sekolah atau kampus. Ia juga terletak pada teknologi, data, kandungan dan harta intelek.

Pada masa sama, syarikat pendidikan bumiputera perlu disokong untuk mencapai skala yang lebih besar melalui modal pertumbuhan, pengurusan profesional, penggabungan dan kerjasama strategik.

Pendekatan ini mengubah strategi dan dasar daripada hanya melindungi penyertaan bumiputera kepada membina daya saing bumiputera dalam industri pendidikan swasta.

Tiba masanya untuk menjayakan pendidikan swasta Bumiputera, kita ukur pemilikan, bukan sekadar penyertaan. Oleh itu, wajar dipertimbangkan mewujudkan Data Pemilikan Bumiputera dalam Industri Pendidikan Swasta.

Tujuannya bukan untuk menyekat pelaburan pihak lain. Sebaliknya, data tersebut boleh menjadi instrumen untuk mengetahui kedudukan sebenar pemilikan bumiputera dari tahun ke tahun.

Antara indikator yang boleh diukur ialah nilai aset pendidikan yang dimiliki, nilai ekuiti syarikat, jumlah institusi pendidikan milik bumiputera, jumlah syarikat pendidikan dan edtech, nilai pelaburan, kadar pertumbuhan syarikat, jumlah pekerja dan penglibatan dalam pasaran pendidikan antarabangsa.

Dengan adanya ukuran sedemikian, kerajaan boleh menilai sama ada dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera benar-benar menghasilkan perubahan struktur pemilikan atau hanya meningkatkan penyertaan tenaga kerja bumiputera.

 *Dr. Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here