JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dikatakan telah menghantar surat kepada pemimpin utama Perikatan Naisonal (PN) bagi memaklumkan mengenai kemungkinan pembatalan gabungan itu.
Surat itu dikatakan telah dihantar kepada pemimpin PN iaitu Pengerusi PN Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.
Difahamkan surat ROS memaklumkan tentang pembatalan PN serta melarang sebarang bentuk aktiviti atas nama gabungan itu dijalankan.
Kepimpinan PN juga dikatakan diberi masa selama 30 hari untuk menjawab surat berkenaan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa pimpinan PN ada menerima surat ROS (mengenai pembatalan PN) semalam,” kata sumber daripada gabungan itu kepada Malaysiakini.
Sebelum itu, tular satu tangkap layar didakwa surat pembatalan pertubuhan daripada ROS kepada PN.
Dikatakan satu perintah bertulis bertarikh 23 September 2026 dikeluarkan bagi menggantung semua aktiviti dan penggunaan nama PN, selaras dengan Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] berkuat kuasa serta-merta.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dan isu status keanggotaannya dalam gabungan tersebut.
Sabtu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta RoS membuat keputusan segera terhadap aduan yang dikemukakan parti tersebut termasuk dakwaan lapan perkara yang didakwa dilanggar pimpinan PN.





