Lelaki Hong Kong ditahan di Bangkok, 350kg syabu bernilai RM94 juta dirampas

SEORANG lelaki  warga Hong Kong berusia 26 tahun ditahan polis selepas 350 kilogram (kg) kristal methamphetamine atau syabu, bernilai kira-kira 700 juta baht (RM94 juta), dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Min Buri, Bangkok, Isnin malam.

Suspek, Huang Yuguan, ditahan di sebuah rumah di Jalan Rom Klao 11 selepas polis menerima maklumat bahawa sebuah sindiket dari Hong Kong menggunakan rumah berkenaan sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara ketiga.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dan menyediakan dadah, termasuk beg plastik, kotak kertas, penimbang digital, pengisar, alat pengedap, beg pakaian dan bekas plastik.

Polis menganggarkan nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu mencecah 700 juta baht (RM94 juta). Siasatan mendapati Huang tiba di Thailand sebagai pelancong dari Kuala Lumpur pada 14 September lalu, lapor Bangkok Post.

Menurut polis, rakan sindiket membuka rumah berkenaan untuk suspek, yang didakwa ditugaskan membungkus dadah sebelum ia diseludup keluar ke negara lain.

Suspek dilaporkan mengaku menerima bayaran 20,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM11,000) untuk menjalankan tugas berkenaan.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti anggota sindiket lain yang terbabit serta rangkaian penyeludupan dadah berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here