Tragedi feri Virgo : Banyak mangsa terperangkap dalam bilik, angka kematian meningkat 27 orang

ANGKA kematian akibat tragedi feri Virgo Transport 8 karam di Indonesia meningkat kepada 27 orang pada Rabu selepas sembilan lagi mayat ditemukan dari dalam bangkai kapal yang tenggelam itu, manakala 108 mangsa masih hilang.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Mohammad Syafii berkata penemuan itu dilakukan oleh penyelam daripada Kumpulan Khas Basarnas (BSG) dan penyelam Tentera Laut Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dikesan setakat ini seramai 135 daripada 243 orang yang tersenarai dalam manifes kapal, terdiri daripada 108 yang terselamat dan 27 terkorban.

“Kami akan meneruskan usaha ini bagi memberikan kepastian kepada keluarga mangsa yang masih menunggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan yang sama,  pasukan penyelam gabungan berjaya menembusi beberapa bilik penumpang dalam bangkai kapal dan menemukan banyak jasad mangsa terperangkap di dalamnya.

Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan (SAR) Kelas A Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata operasi pencarian kini memberi tumpuan kepada bahagian badan kapal, khususnya bilik penumpang selepas pasukan penyelam menemukan ramai mangsa yang masih terperangkap.

Beliau berkata, beberapa jasad yang cuba dikeluarkan menggunakan tali masih gagal dievakuasi dipercayai kerana terjepit dalam bangkai kapal.

“Memang sudah banyak terlihat penumpang yang terjebak di dalam kamar kapal. Beberapa korban sudah dicuba ditarik menggunakan tali tetapi tidak berjaya. Sepertinya ada korban yang terjepit di dalam kapal,” katanya .

Pasukan penyelam gabungan terdiri daripada Basarnas Special Group (BSG), Kopaska dan Pangkoarmada II TNI AL, PT Jasalindo serta beberapa agensi lain.

Dalam operasi itu, penyelam memecahkan kaca tingkap beberapa bilik bagi membuka laluan ke ruang yang dipercayai menjadi lokasi mangsa terperangkap.

Pada Selasa pagi, pasukan penyelam berjaya menemukan dan membawa keluar tiga mangsa yang meninggal dunia dari dalam bangkai kapal.

Bagaimanapun, usaha mengeluarkan beberapa mangsa lain terpaksa dihentikan sementara selepas keadaan air menjadi keruh akibat arus laut yang semakin deras.

Putu berkata, operasi dijadualkan disambung pada Rabu pagi hingga petang, dengan harapan keadaan cuaca bertambah baik dan arus laut lebih tenang bagi membolehkan pasukan penyelam meneruskan proses evakuasi.

Pasukan SAR akan memberi keutamaan kepada kompartmen yang menempatkan bilik tidur penumpang, termasuk kelas ekonomi dan eksekutif.

Selepas itu, pasukan akan mempertimbangkan pencarian di bahagian kenderaan yang berada dalam kapal sekiranya keadaan membenarkan dan selamat untuk penyelam.

“Kenderaan di dalam kapal saling bertindih kerana kedudukan kapal sudah tidak normal. Kalau memungkinkan dan selamat, pasti akan kita laksanakan. Operasi SAR mesti mengutamakan keselamatan petugas,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here