SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai dibunuh dengan kesan kecederaan pada dagu, leher, telinga dan lebam di kepala serta kedua-dua mata di bawah sebuah pondok di belakang Medan Bandar, Alor Setar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.50 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di taman rekreasi Persisiran Sungai Raja.
Menurutnya, mangsa ditemukan terbaring di bawah pondok dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dalam tempoh tidak sampai empat jam.
“Hasil siasatan tempat kejadian mendapati mangsa mengalami luka di bahagian bawah dagu, lebam di kepala sebelah kiri, pendarahan di telinga kiri, lebam pada kedua-dua mata serta kesan luka di bahagian leher.
“Terdapat juga luka kecil di sebelah kanan dagu,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Syed Basri berkata, mangsa dipercayai baru meninggal dunia berdasarkan kesan darah yang masih baharu.
Katanya, dua batang kayu yang sudah patah ditemukan berhampiran mangsa, namun tiada kesan pergelutan atau seretan dikesan di lokasi kejadian.
“Hasil temu bual dengan seorang saksi lelaki tempatan berusia 37 tahun yang juga pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan darah ketika saksi sedang bekerja di kawasan berkenaan sekitar jam 9.20 pagi.
“Saksi kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelianya sebelum menghubungi polis,” katanya.
Beliau berkata, saksi turut mengenali mangsa sebagai seorang gelandangan yang sudah berada di kawasan rekreasi itu sejak awal tahun ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 6 pagi hingga 9.20 pagi ketika mangsa ditemukan.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Wong Tek An, 55, beralamat di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan polis merampas serpihan kayu yang ditemukan di atas tempat duduk dalam pondok untuk siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.





