DUA pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini atas enam pertuduhan berkaitan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana berjumlah RM29,440.
Mohamad Ihsan Said, 42, dan Radzmil Saadan, 38, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mohamad Ihsan yang bertugas sebagai Pegawai RELA Daerah Lahad Datu berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Radzmil turut berdepan tiga pertuduhan kerana didakwa bersubahat dengan Mohamad Ihsan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ihsan didakwa memberikan dokumen tuntutan elaun yang mengandungi butiran material palsu berkaitan jumlah jam bertugas bagi rondaan keselamatan dan pemantauan bencana ketika Monsun Timur Laut.
Pertuduhan pertama membabitkan tuntutan bagi November 2022 berjumlah RM9,600, manakala pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing membabitkan tuntutan bagi Disember 2022 dan Januari 2023 berjumlah RM9,920.
Sementara itu, Radzmil didakwa bersubahat dengan Mohamad Ihsan dengan menyemak borang tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan berkenaan pada masa dan tarikh sama.
Kesemua pertuduhan terhadap Radzmil dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta berkenaan.
Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran material palsu atau silap itu, jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom memohon jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak menghubungi atau mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya adalah penjawat awam yang sudah berkhidmat antara 13 hingga 18 tahun serta mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap di Tawau.
Mahkamah turut mengenakan syarat seperti dipohon pihak pendakwaan, lapor Harian Metro.
Sebutan pengurusan kes prabicara ditetapkan pada 23 Oktober ini, manakala perbicaraan penuh dijadualkan selama lima hari bermula 19 hingga 23 November depan.





