SEORANG wanita yang juga bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditahan selepas disyaki menolak seorang warga emas sehingga terjatuh ke dalam longkang di Taman OUG, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 79 tahun yang juga bekas pemain hoki Selangor era 1960-an mengalami kecederaan di belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa masuk ke kedai jahit milik rakannya sebelum memaklumkan bahawa dia diekori suspek.
Menurutnya, ketika mangsa keluar dari premis beberapa minit kemudian, suspek yang menunggu di luar tiba-tiba menolaknya sehingga terhumban ke dalam longkang.
“Tindakan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis milik rakan mangsa itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakan mangsa membuat laporan polis pada jam 12.37 tengah hari hari sama sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu sebuah rumah dan menahan suspek.
Katanya, hasil soal siasat awal mendapati suspek tidak mengaku menolak mangsa dan gagal memberikan alasan munasabah berhubung tindakannya.
“Dia juga didapati tidak mengenali mangsa secara peribadi.
“Suspek kini direman sehari di lokap IPD Brickfields, dengan majistret turut mengeluarkan arahan supaya wanita itu dibawa menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, mangsa dibawa rakannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditahan di wad kecemasan selama empat hari untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah.
Polis kini menunggu laporan penuh daripada pakar perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan pertuduhan.





