SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh longkang sewaktu hujan lebat di Bandar Puncak Alam di Shah Alam petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Khairil Izani, 10, dikatakan terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.47 malam mengenai kejadian itu yang berlaku di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam.
Menurutnya, enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas.
“Berdasarkan laporan daripada orang awam, kanak-kanak itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba dan penyelamat sedang dilakukan.


