Belanjawan 2027: Kerajaan tambah peruntukan bantu usahawan kecil

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menambah peruntukan bagi usahawan kecil menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan 9 Oktober ini.

Langkah itu, menurut Perdana Menteri, penting bagi membolehkan golongan terbabit mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan menerusi bantuan yang disesuaikan dengan keperluan masing-masing.

“Sebab dalam belanjawan kita, bulan depan ini 9 Oktober, insya-Allah saya nak tambah peruntukan untuk ini, usaha-usaha kecil macam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Mua’dzam Shah, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar berkata, bantuan kepada usahawan kecil tidak semestinya memerlukan peruntukan besar, sebaliknya peralatan yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan perlu diberi perhatian.

Katanya, kerajaan perlu turun padang dan mengenal pasti keperluan sebenar usahawan sebelum menentukan bentuk bantuan, selain melihat perubahan pendapatan selepas bantuan diberikan.

“Dia dah buat kuih, dah 10 tahun. Tapi pendapatan ‘takat’ (setakat) itu saja. Sebab alat dia boleh masak ‘takat’ ini saja. Jadi kita beli.

“Lepas itu tengok, dua bulan lagi berapa pendapatan dia. Naik pendapatan dia, Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bantuan perlu disalurkan secara terus tanpa terlalu banyak lapisan agensi bagi memastikan keperluan usahawan dapat dipenuhi dengan lebih cepat.

Beliau turut menggalakkan masyarakat mengenal pasti usahawan kecil di kawasan masing-masing yang layak menerima bantuan untuk dinilai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Kalau ada kawan lain yang patut diberikan bantuan atau peluang, nanti ICU tentukan cara mana dia boleh bantu. Saya lebih suka cara begitu.

“Kalau ada usahawan kecil lain yang mereka kenal di kampung lain yang rajin, mereka boleh maklumkan kepada kita untuk bantuan seterusnya,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here