FOTO serta maklumat berkaitan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang dibatalkan pelantikan kini telah diturunkan daripada portal rasmi kerajaan negeri.
Semakan yang dibuat pada portal berkenaan sekitar jam 7 malam tadi mendapati hanya paparan maklumat Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang kekal disenaraikan.
Menerusi maklumat terbaharu di portal itu, beliau kini memegang tiga portfolio utama iaitu Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan Felda.
Langkah penurunan maklumat berkenaan dipercayai berpunca daripada keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang membatalkan pelantikan kesemua barisan Exco terbabit berkuat kuasa 20 September lalu.
Warta rasmi berhubung pembatalan pelantikan 10 ahli Exco berkenaan turut diterbitkan semalam bagi mengesahkan keputusan tersebut.
Senarai individu yang terbabit merangkumi tujuh wakil UMNO iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi barisan Exco dibatalkan ialah Siow Kong Choon daripada MCA (Chennah), Mohd Fairuz Mohd Isa daripada PAS (Serting), serta Datuk Razali Abu Samah daripada Parti Wawasan Negara (Sikamat).
Menurut sumber, rombakan serta penjadualan semula barisan kepimpinan pentadbiran negeri dijangka menyusul dalam masa terdekat.





