KERAJAAN Persekutuan sedia mempertimbang cadangan mengembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan di pulau peranginan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu kegiatan perniagaan di Langkawi dipertingkat.
“Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Norizan Khazali) sebut tadi pasal surat cukai Langkawi. Tak apa itu kita boleh fikirkan.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah ada pesan, dia nak angkat balik kegiatan perniagaan di Langkawi. Saya setuju, saya timbang,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Mua’dzam Shah, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar hari ini, lapor BH.
Sultan Sallehuddin ketika Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Titah baginda, status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati dikurangkan.
Antara perkara disentuh termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan yang dihadkan, selain cukai terhadap produk berasaskan tembakau dan barangan lain.





