POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul seorang penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, di Dato Keramat ke Jelatek baru-baru ini.
Dalam kejadian 22 September lalu itu, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa dia secara tiba-tiba diserang oleh suspek yang tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada mangsa jam 6.35 petang hari yang sama.
“Susulan daripada laporan yang diterima, satu kertas siasatan sudah dibuka dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit, selain mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Annas meminta saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya segera tampil bagi membantu siasatan.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.
Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.





