DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini boleh pupus sekiranya seseorang raja boleh dijatuhkan dengan mudah.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu menjadi sebab beliau tegas mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, khususnya Raja-Raja Melayu.
“Sebab itu kita tegas, kalau raja kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem raja akan pupus dalam negara kita. Rakyat putuskan tapi saya faham rakyat terutamanya orang Melayu dan banyak rakyat Malaysia seperti Cina, India pun tak mahu sistem ini digugat.
“Jadi, itulah mengapa saya bertegas mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan,” katanya ketika berucap pada Program Pendang Berselawat 2026 di Pondok Mujamma’ Ibn Sunni Al-Talaqqi (MUSTAQ) di Pendang malam tadi, lapor Buletin TV3.
Anwar berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya raja boleh dijatuhkan dengan mudah kerana perkara itu akan memberi kesan kepada kelangsungan sistem beraja di negara ini.
Katanya, perkara berkaitan institusi beraja perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang menjadi asas kepada sistem negara.
Beliau turut menyentuh perkembangan berkaitan institusi diraja di Negeri Sembilan, namun menegaskan pendiriannya itu bukan bertujuan mencampuri urusan di negeri berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, pendiriannya itu bagi memastikan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi sebahagian daripada sistem negara terus dihormati.
“Ini bukan soal parti politik, ini bukan soal politik, soal sistem negara kita,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika isu berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan pertikaian mengenai proses dan kedudukan beberapa pihak dalam institusi Undang Yang Empat.





